Empat lelaki jual arak seludup ditahan

Eng Lai (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
Eng Lai (tengah) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki ditahan kerana menjual minuman keras yang diseludup dari negara jiran dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Sentul Pasar di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 27 tahun itu terdiri daripada dua warga tempatan dan selebihnya pendatang asing.

"Siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun yang lalu.

"Pihak polis berjaya merampas sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai barang tidak bercukai kastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM100,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin.

Eng Lai berkata, kesemua suspek direman tiga hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup yang membawa hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah paling besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!