Airasia food lancar perkhidmatan di Kota Bharu

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Platform penghantaran makanan oleh airasia Super App yang sedang berkembang pesat, air asia food telah melancarkan perkhidmatannya di negeri Kelantan, merevolusikan sektor perkhidmatan penghantaran makanan dan meluaskan peluang ekonomi untuk pengendali restoran di sini.

Ketua Penghantaran (e-Dagang) airasia Super App, Lim Ben-Jie berkata, pengembangan ke Kota Bharu mencerminkan komitmen jangka panjang airasia food untuk membantu perniagaan kecil dan tradisional terutamanya di bandar-bandar membangun agar peniaga dapat mengambil peluang dalam perkembangan ekonomi digital dan mengaut keuntungan.

Beliau berkata, langkah baharu itu seiring dengan misi airasia untuk membantu mereka yang memerlukan kerana pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu perniagaan kecil dengan menawarkan platform digital perniagaan yang lancar, pesanan dalam talian yang selamat dan penyelesaian pembayaran pada platform airasia food.

“Apa yang paling penting, kami menawarkan caj komisen terendah di bandar, proses yang mudah dan tanpa bayaran pendaftaran. Kami ingin mempelawa lebih ramai pengendali makanan dan minuman tempatan untuk menerima permintaan perkhidmatan digital dan menjadi sebahagian daripada keluarga airasia food.

“Perniagaan kecil boleh memanfaatkan ekosistem airasia Super App yang luas serta kukuh dengan pangkalan data pengguna selain pelbagai kempen pemasaran strategi yang telah direka dan menjadi terkenal dalam kalangan pelanggan dan peniaga.

“Kempen itu termasuk hidangan percuma dan penghantaran percuma secara berterusan yang akan membantu pemilik restoran mengekalkan para pelanggan walaupun selepas tamat tempoh promosi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ben-Jie berkata, airasia food juga menyediakan bantuan pendaftaran termasuk alatan dan inisiatif bagi memudahkan perniagaan luar talian beralih kepada dalam talian dan membantu para peniaga yang telah berada dalam talian meningkatkan jenama mereka dan memberi akses penuh kepada perniagaan mereka.

“Operasi kos rendah adalah DNA kami dan semua penjimatan yang dimanfaatkan oleh peniaga akan diberikan kepada para pelanggan yang seterusnya menawarkan harga yang lebih rendah agar mereka dapat menikmati makanan kegemaran mereka dari restoran terkenal di Kota Bharu,” tambah Ben-Jie. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!