PJ City waspada aura 'This is Kota Bharu'

PJ City bakal meneruskan baki saingan Piala Malaysia menentang Kelantan FC di Kota Bharu. - Foto PJ City FC
PJ City bakal meneruskan baki saingan Piala Malaysia menentang Kelantan FC di Kota Bharu. - Foto PJ City FC
A
A
A

PENGENDALI PJ City, P Maniam mahu para pemain The Phoenix tidak memandang rendah keupayaan Kelantan FC biarpun pernah menjinakkan kelab pantai timur itu 3-1 pada 29 Oktober lalu, menjelang perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Muhammed ke-IV.

Tambahan menurut Maniam, The Red Warriors (TRW) itu memiliki kelebihan tersendiri apabila beraksi di Kota Bharu ditambah dengan sokong padu dalam kalangan penyokong setia.

Sehubungan itu, para pemain PJ City perlu sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia dari segi mental serta fizikal bagi mengharungi tempoh 90 minit dalam perlawanan yang dijangka sengit.

“Apa yang saya perhatikan pada perlawanan tempoh hari, Kelantan mempunyai sebuah skuad yang baik dan kebanyakan pemain mereka ada teknik tersendiri. Malah mereka sering kali mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan saya rasa mereka akan tampil dengan lebih baik apabila beraksi di tempat sendiri.

“Sudah pasti, kehadiran penyokong tuan rumah buat pertama kali pasti akan beri motivasi buat Kelantan bermain baik dan saya harap pemain sentiasa fokus dalam setiap situasi.

“Jadi pemain-pemain kena tahu bermain secara bertahan apabila beraksi di sana dan jangan fikir tahu hendak menyerang sahaja, sudah tentu strategi kena berlainan semasa kami beraksi di tempat sendiri. Tiga mata di Kota Bharu cukup penting kerana boleh meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih selesa dalam mencari tempat ke suku akhir,” katanya.

Kemenangan ke atas TRW sebelum ini membolehkan The Phoenix berada di tempat kedudukan kedua Kumpulan D dengan empat mata, lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, Maniam menegaskan sudah memiliki perancangan tersendiri sekiranya tuan rumah menurunkan penyerang utama TRW, Nurshamil Abd Ghani dalam perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat ketahui segala kekuatan serta kelemahan dia kerana pernah membimbingnya di Selangor pada 2017, pada masa itu saya merupakan penolong ketua jurulatih.

“Dia seorang penyerang yang bagus dan jika kita beri dia ruang dan masa dalam jarak 18 ela, dia boleh menghasilkan jaringan kepada pasukan. Jadi, barisan pertahanan perlu beri tumpuan terhadap Nurshamil jika dia diturunkan oleh Kelantan dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Untuk rekod, Nurshamil merupakan penjaring tempatan terbanyak Liga Premier musim ini diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang JDT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!