176 pegawai KPDNHEP pantau harga barang kawalan
DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menggerakkan seramai 176 anggota bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barang kawalan sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia melibatkan seramai 117 pegawai penguat kuasa dan 59 pegawai pemantau harga yang akan berada di lokasi tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri ini.
“Pegawai penguat kuasa dan pemantau harga ini bertindak melindungi pengguna dengan memeriksa peniaga-peniaga tidak beretika yang suka mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan semasa musim perayaan,” katanya selepas pelancaran SHMMP Deepavali tahun 2021 di Nirvana Maju Jaya Sdn Bhd, Kuala Dungun di sini pada Isnin.
Pelancaran disempurnakan Timbalan Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Hapandi Wan Nik.
Sementara itu, Saharuddin berkata, selain pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa, pelanggaran etika peniaga turut dipantau oleh Rakan KPDNHEP yang merupakan mata dan telinga kementerian dengan menyalurkan maklumat mengenai harga barang.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan lain selain penglibatan Gerakan Pengguna di setiap daerah dan Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) dalam membantu melaporkan kenaikan harga barang.
“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!