Sindiket tipu tawaran kerja babit kerugian RM4.6 juta tumpas

Antara barang yang dirampas selepas polis menahan 168 individu kerana disyaki terlibat sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4.6 juta.
Antara barang yang dirampas selepas polis menahan 168 individu kerana disyaki terlibat sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4.6 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 168 individu ditahan kerana disyaki terlibat sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4.6 juta yang menyasarkan mangsa bukan sahaja dari Malaysia malah dari beberapa negara jiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek ditahan menerusi 19 operasi yang dijalankan bermula Januari hingga Ahad di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pahang, Sabah, dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, sindiket tersebut menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa yang terdesak dengan menawarkan jawatan sebagai 'ejen syarikat' yang menjanjikan pendapatan lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Lanjutan daripada peningkatan kes penipuan ini, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat 255 kes penipuan yang dilaporkan bagi tempoh Januari sehingga 31 Ogos 2021.

"Sindiket menggunakan modus operandi ini memandangkan ramai di kalangan masyarakat bekerja dari rumah atau telah kehilangan punca pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Isnin.

Mohd Kamarudin berkata, pada awalnya mangsa akan dibayar sejumlah komisen seperti dijanjikan untuk membeli barangan menerusi platform e-dagang bagi menyakinkan mangsa bahawa pekerjaan tersebut adalah sah.

"Tugasan pembelian ini perlu diselesaikan mengikut masa yang diberikan dan penalti akan dikenakan ke atas mangsa jika gagal malah wang ganjaran atau bayaran yang dibuat mangsa tidak akan dipulangkan," katanya.

Tambahnya, pada peringkat awal mangsa diarah membeli barangan murah menerusi aplikasi e-dagang sebelum terpaksa membeli produk berharga tinggi menyebabkan mangsa tidak mampu untuk membelinya dan dikenakan penalti.

Artikel Berkaitan:

"Penalti ini termasuk pembayaran denda, yuran pemprosesan, cukai, tukaran wang asing dan memaksa mangsa terus membuat bayaran untuk menuntut kembali wang yang telah dibayar.

"Apabila mangsa tidak mahu meneruskan tugasan ini dan menuntut bayaran wang kembali, suspek akan beri alasan lain seperti ada masalah dalam pemindahan wang dan memerlukan mangsa membuat bayaran sehingga mangsa sedari telah tertipu," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada 118 lelaki tempatan, 38 wanita tempatan, lelaki warga China (tujuh), wanita warga China (empat) dan seorang wanita Thailand.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!