11 terpalit dakwaan portal Edisi Siasat buat laporan penafian

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan menerima sebanyak 11 laporan penafian daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang didedahkan menerusi akaun Telegram Edisi Siasat dan Twitter @edisi_siasatmy.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci dan mengambil kira keterangan daripada kedua-dua pihak.

“Kita kena siasat kedua-dua pihak membabitkan pengadu dan pengguna Twitter itu. Kita boleh menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Namun, macam isu rasuah ia di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka mereka boleh siasat perkara itu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada 26 Oktober lalu melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk menyiasat salah laku yang membabitkan pegawai tertinggi kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata demikian demikian mengulas mengenai dakwaan sebuah akaun media sosial, Edisi Siasat yang mendedahkan salah laku pemimpin tertinggi kerajaan, menteri dan bekas menteri.

Laporan Sinar Harian pada 26 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian pada 26 Oktober lalu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Mohd Kamarudin berkata, seramai 168 individu ditahan kerana disyaki terlibat sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4.6 juta.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek ditahan menerusi 19 operasi yang dijalankan bermula Januari hingga Ahad di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

"Sindiket tersebut menggunakan platform media sosial untuk mencari mangsa yang terdesak dengan menawarkan jawatan sebagai 'ejen syarikat' yang menjanjikan pendapatan lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pada awalnya mangsa akan dibayar sejumlah komisen seperti dijanjikan untuk membeli barangan menerusi platform e-dagang bagi meyakinkan mangsa bahawa pekerjaan tersebut adalah sah.

"Tugasan pembelian ini perlu diselesaikan mengikut masa yang diberikan dan penalti akan dikenakan ke atas mangsa jika gagal malah wang ganjaran atau bayaran yang dibuat mangsa tidak akan dipulangkan," katanya.

Tambahnya, pada peringkat awal mangsa diarah membeli barangan murah menerusi aplikasi e-dagang sebelum terpaksa membeli produk berharga tinggi menyebabkan mangsa tidak mampu untuk membelinya dan dikenakan penalti.

"Penalti ini termasuk pembayaran denda, yuran pemprosesan, cukai, tukaran wang asing dan memaksa mangsa terus membuat bayaran untuk menuntut kembali wang yang telah dibayar.

"Apabila mangsa tidak mahu meneruskan tugasan ini dan menuntut bayaran wang kembali, suspek akan beri alasan lain seperti ada masalah dalam pemindahan wang dan memerlukan mangsa membuat bayaran sehingga mangsa sedari telah tertipu," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada 118 lelaki tempatan, 38 wanita tempatan, lelaki warga China (tujuh), wanita warga China (empat) dan seorang wanita Thailand.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!