Tottenham pecat Nuno

Nuno Espirito Santo - Foto AFP
Nuno Espirito Santo - Foto AFP
A
A
A

PERJALANAN karier Nuno Espirito Santo di utara London sebagai pengendali Tottenham Hotspur hanya bertahan empat bulan selepas dipecat berikutan prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Tottenham Hotspur mengumumkan bahawa Nuno Espírito Santo dan barisan kejurulatihan Ian Cathro, Rui Barbosa serta Antonio Dias dilepaskan dari tanggungjawab mengendalikan kelab ini. Pelantikan barisan kejurulatihan baharu kelab akan dimaklumkan dalam masa terdekat," ujar kelab itu di laman sesawangnya.

Pemecatan Nuno yang meletakkan kelab London itu kini berada di kedudukan kelapan liga, 10 mata di belakang pendahulu Chelsea selepas diaibkan 0-3 Manchester United di Stadium Tottenham Hotspur pada Ahad, menyaksikan Tottenham bakal mencari pengendali keempat kelab tersebut dalam tempoh tiga tahun.

Pengendali berusia 47 tahun itu dilantik menggantikan Jose Mourinho dengan kontrak selama dua tahun pada Jun lalu selepas meletakkan penanda aras terbaik bersama Wolverhampton Wanderers selama empat musim.

Musim ini Spurs, yang juga finalis Liga Juara-Juara 2019, bergelut dalam saingan Liga Konferensi Europa yang merupakan kejuaraan tahap tiga kelab Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Spurs akan melayan kunjungan Vitesse Arnhem dalam saingan Liga Konferensi Europa minggu ini sebelum berkunjung ke Goodison Park berdepan Everton untuk perlawanan liga pada Ahad.

Sementara itu, pengarah Tottenham Hotspur, Fabio Paratici berkata: “Saya tahu betapa Nuno dan kakitangan kejurulatihannya mahu berjaya bersama kelab ini, namun sejujurnya kami kesal kerana terpaksa mengambil keputusan ini.

"Nuno adalah seorang lelaki sejati dan akan sentiasa dialu-alukan di sini. Kami berterima kasih kepadanya dan kakitangan kejurulatihannya selain mendoakan kesejahteraan mereka untuk masa depan."

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!