Malaysia sedia jadi hab selesai pertikaian peringkat global

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersedia menjadi hab bagi menyelesaikan pertikaian di peringkat global dengan pelancaran Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 iaitu resolusi pertikaian berpandukan syariah pertama oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Bercakap sempena pelancaran Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rangka kerja timbang tara Islam AIAC akan menjadikan Malaysia sebagai asas kukuh dalam mempelopori kemajuan Resolusi Pertikaian Alternatif (ADR) dalam kewangan Islam.

“Jumlah aset Industri Perkhidmatan Kewangan Islam global (IFSI) meningkat 10.7 peratus dari tahun ke tahun dengan nilai keseluruhan dianggarkan AS$2.7 trilion pada tahun 2020,” katanya pada pelancaran Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 di AIAC di sini pada Isnin.

Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021, membentangkan pendekatan yang disatukan dalam penyelesaian pertikaian, menyeimbangkan antara amalan perniagaan konvensional serta keperluan dalam transaksi yang berpandukan prinsip Syariah atau Islam untuk pengguna di seluruh dunia.

Ciri utama lain Kaedah-Kaedah Timbang Tara-i 2021 termasuk pembiayaan pihak ketiga berpandukan Syariah, mekanisme semakan rujukan kepada Majlis Syariah, peruntukan mengenai pelantikan pakar Syariah dan hak pihak untuk menentukan keutamaan mana-mana penggunaan prinsip Syariah.

Wan Junaidi berkata, pembangunan landskap ADR sejajar dengan pertumbuhan IFSI.

Beliau berkata, timbang tara Islam adalah penyelesaian kewangan alternatif bagi mempercepatkan resolusi pertikaian dengan cara yang kurang menyusahkan berbanding pergi ke mahkamah.

AIAC ditubuhkan pada tahun 1978 di bawah naungan Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia Afrika (AALCO) dan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan AALCO.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menyokong penubuhan pusat timbang tara komersial serantau di Kuala Lumpur dan bersetuju untuk menyediakan kemudahan bagi penubuhan dan peranan pusat berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!