SOP baharu rentas negeri mudahkan orang ramai berkunjung ke Sabah

Ajeera tiba di pintu keluar KKIA sebaik tiba dari Kuala Lumpur.
Ajeera tiba di pintu keluar KKIA sebaik tiba dari Kuala Lumpur.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan kerajaan Sabah membenarkan rentas negeri melegakan hati semua pihak terutama rakyat Sabah yang ingin pulang ke kampung atau mereka yang sudah lama mengidamkan untuk datang bercuti ke negeri bawah bayu ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebaik pintu sempadan negeri dibuka bermula Isnin, operasi di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), di sini, kembali meriah dengan kehadiran warga negara dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Walaupun masih terikat dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan individu yang masuk ke Sabah menjalani ujian Covid-19 RT-PCR atau RTK-Ag dan lengkap vaksinasi Covid-19 namun ia bukan penghalang untuk orang ramai tiba di pintu KKIA bermula hari ini.

Menurut penjawat awam, Ajeera Ahmad, 26, keputusan kerajaan Sabah membenarkan rentas negeri bermula Isnin sebenarnya memudahkan ramai pihak bukan saja rakyat Sabah sendiri tetapi mereka yang ingin berkunjung ke Sabah.

"Jika sebelum ini, banyak SOP yang perlu dipatuhi tetapi dengan kelonggaran membenarkan rentas negeri tanpa sebarang surat daripada pihak berkuasa ia sudah memudahkan orang ramai yang ingin datang ke Sabah.

"Saya sendiri lega apabila tidak perlu mendapatkan surat dari balai polis untuk merentas negeri dan hanya perlu menunjukkan keputusan ujian RTK Covid-19 yang negatif supaya dapat kembali ke Sabah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di KKIA, di sini.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Ajeera berkata, semuanya dipermudahkan hanya dengan menunjukkan dokumen yang diperlukan dan mengisi borang Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) secara dalam talian.

"Jadual penerbangan saya jam 11.15 pagi dan saya sudah berada di lapangan terbang pada jam 8 pagi kerana bimbang jika memerlukan masa yang lebih untuk pengurusan daftar masuk sebelum dibenarkan berlepas.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum dibenarkan daftar masuk, saya perlu menunjukkan keputusan 'swab test' dan bukti lengkap vaksinasi. Selebihnya seperti biasa dan saya juga mengisi borang JKNS," katanya yang berasal dari Penampang.

Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berasal dari Kuala Lumpur, Nursyahirah Yubatna, 18, bersyukur kerana kerajaan Sabah sudah membenarkan rentas negeri seperti negeri lain.

"Selepas ini mudah untuk saya atau ibu bapa berulang alik dari Semenanjung ke Sabah berikutan keputusan kerajaan yang melonggarkan SOP dengan membenarkan warga negara masuk ke Sabah tanpa syarat yang ketat.

"Setakat ini hanya perlu menjalani ujian swab dan lengkap vaksinasi tetapi saya berharap juga jika kerajaan dapat longarkan sedikit berkaitan ujian swab kerana bukan semua orang mampu menjalani ujian itu walaupun RTK dan jika melibatkan jumlah keluarga yang besar ia juga turut memakan kos yang tinggi," katanya.

Katanya lagi, keputusan kerajaan Sabah yang membenarkan rentas daerah juga membuka peluang untuknya meneroka daerah di negeri ini dengan lebih kerap selepas ini.

"Selepas hampir dua tahun kita 'terkurung' disebabkan pandemik Covid-19 dan dengan keputusan kerajaan negeri ini akan dimanfaatkan untuk berjalan-jalan ke daerah lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!