Malaysia tarik penggiat pelancongan dunia di London

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS hampir dua tahun berhadapan sekatan perjalanan di seluruh dunia, Malaysia menyampaikan mesej yang jelas untuk mempromosikan negara ini sebagai satu destinasi percutian yang selamat dengan menyertai ekspo World Travel Market (WTM) 2021 yang bermula hari ini, di London, United Kingdom.

Dalam satu kenyataan pada Isnin Tourism Malaysia berkata, di WTM 2021 penggiat pelancongan dari seluruh dunia akan mendapat informasi terkini mengenai pelancongan ke Malaysia, terutama gelembung pelancongan antarabangsa pertama negara ke Langkawi bagi pengunjung luar negara yang lengkap vaksinasi, tanpa perlu menjalani kuarantin, mulai 15 November ini.

“Tourism Malaysia percaya WTM merupakan platform penting untuk memperkenalkan tarikan pelancongan baharu dan akan datang di Malaysia, yang memenuhi permintaan pasaran United Kingdom dan Eropah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata pihaknya optimistik bahawa tahun ini, iaitu tahun ke-40 Tourism Malaysia menyertai WTM, akan membolehkan agensi itu berhubung semula dengan rakan-rakan kongsinya selain membina hubungan baharu.

“WTM terus menjadi platform penting untuk kami (Tourism Malaysia) dalam mempromosi tawaran pelancongan Malaysia yang luas dan untuk memperkenalkan tarikan pelancongan baharu dan akan datang, yang kami yakin akan menarik perhatian pasaran Eropah,” katanya.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar berkata, sepanjang ekspo itu, Malaysia bersedia untuk meraih semula keyakinan agensi-agensi pelancongan antarabangsa bagi mempromosi dan menjual produk pelancongan negara.

“Penyertaan kami akan memberi peluang kepada pemain industri dari seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pelancongan ke Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut WTM 2021 menerima kedatangan para peserta secara bersemuka di ExCel London, mulai hari ini hingga 3 Nov, sebelum perjumpaan secara maya diadakan pada 8 dan 9 Nov menerusi platform dalam talian WTM London.

Artikel Berkaitan:

Tourism Malaysia akan turut disertai rakan-rakan dari Pahang dan wakil sektor swasta daripada Malaysia Airlines dan Berjaya Hotels, menurut kenyataan itu.

“Secara maya, sebanyak 10 organisasi akan mengambil bahagian sepanjang acara itu, meliputi empat pengendali pelancongan, dua lembaga pelancongan negeri, tiga hotel dan tempat peranginan, serta seorang pemilik produk,” menurut Tourism Malaysia.

Tourism Malaysia juga berkata, ia sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan antabarangsa untuk meningkatkan penerbangan ke tanah air.

Buat masa ini, Malaysia Airlines menyediakan dua penerbangan seminggu dari London ke Kuala Lumpur sehingga Disember tahun ini. Kekerapan penerbangan itu dijangka ditingkatkan kepada lima kali seminggu antara Januari hingga Mac 2022, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!