Dipukul, disamun ketika mahu beli jam Rolex
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan jam tangan jenama Rolex berharga RM45,000 malah dia dipukul dan kerugian RM20,000 akibat disamun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia 38 tahun datang ke Johor bersama rakannya.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor melihat iklan yang menjual jam tangan berkenaan dalam Facebook sebelum menghubungi dan membuat janji temu dengan pemilik akaun itu.
"Mereka membuat janji temu di Eko Flora, Setia Indah semalam. Mangsa dan rakannya tiba di lokasi dijanjikan sebelum menemui dua lelaki untuk menjalankan urusan pembelian tersebut.
"Suspek meminta mangsa menyerahkan wang berjumlah RM45,000 untuk membolehkan mangsa melihat jam berkenaan. Namun mangsa memberitahu dia akan membayar RM20,000 secara tunai manakala selebihnya melalui dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, setelah mangsa menyerahkan wang berkenaan, seorang suspek bertindak menyembur mata mangsa dengan penyembur lada sebelum rakan suspek melarikan diri.
Katanya, suspek juga cuba menyembur mata rakan mangsa namun sempat dihalang sebelum berlaku pergelutan antara rakan mangsa dan suspek.
Sejurus itu, katanya, muncul tiga lelaki membawa parang dan kayu sebelum bertindak memukul mangsa sehingga cedera di kepala, lengan dan kaki.
"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!