Bajet 2022: Harapan pulih ekonomi selepas Covid-19

Tengku Zafrul Abdul Aziz -Foto Bernama
Tengku Zafrul Abdul Aziz -Foto Bernama
A
A
A

BAJET 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianggap amat penting ketika negara berusaha memulihkan ekonomi akibat kesan pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua hari sebelum pembentangan Bajet 2022 telah memberi gambaran awal bahawa ia mempunyai faktor ‘wow’ kerana mampu memanfaatkan semua golongan terutama B40 dan M40.

Ternyata, bermatlamatkan ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’, bajet berkenaan rata-ratanya disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat yang ketika ini amat memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Rayuan dan permintaan rakyat didengari kerajaan apabila pelbagai insentif, pakej pinjaman dan pemberian wang secara one off disalurkan kepada golongan peniaga yang tertekan sehinggalah keluarga yang berpendapatan rendah.

Tahun 2022 pastinya satu lagi tahun yang mencabar, lebih-lebih lagi ekonomi negara masih belum berada di landasan kukuh. Selain memperuntukkan kewangan, Bajet 2022 juga membawa khabar gembira kepada golongan penganggur apabila kerajaan bakal menyediakan 600,000 peluang pekerjaan tahun depan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).

Kita berharap Bajet 2022 yang menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara digunakan dengan sebaik mungkin, bukan sahaja untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, malah mempergiatkan pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur asing menanam modal di Malaysia.

Kerajaan meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi akan mencecah 5.5 - 6.5 peratus tahun depan. Bagaimanapun, situasi global selepas pandemik Covid-19 masih penuh teka-teki. Walaupun analisis data menunjukkan ekonomi global bakal pulih, keadaannya masih penuh cabaran.

Fokus kita kini adalah memulihkan ekonomi dengan segera. Tanggungjawab kerajaan menjadi lebih berat untuk membantu rakyat keluar daripada derita Covid-19 dan kembali membina kehidupan lebih baik. Bajet 2022 yang dirangka kerajaan adalah untuk membentuk seluruh rakyat jelata lebih daya tahan dan melakukan pembaharuan.

Artikel Berkaitan:

Sesungguhnya seluruh Keluarga Malaysia mampu mencipta kejayaan dan kemakmuran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!