Skuad Bunga Raya wanita negara teruja berdepan pasukan pilihan

Norfarahana Aziz (kanan) dan Cindy John Pasan (kiri) antara dua pemain yang bakal memperkuatkan cabaran skuad Bunga Raya 7s wanita negara.
Norfarahana Aziz (kanan) dan Cindy John Pasan (kiri) antara dua pemain yang bakal memperkuatkan cabaran skuad Bunga Raya 7s wanita negara.
A
A
A

SKUAD Bunga Raya Tujuh Sebelah (7's) wanita negara sudah bersedia mental dan fizikal memberi yang terbaik apabila diundi dalam kumpulan maut kejuaraan Siri Tujuh Sebelah Ragbi Asia 2021 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November ini.

Ketua Jurulatih Bunga Raya 7s wanita negara, Mohammad Faiz Samsukhidir berkata, para pemain negara giat menjalani latihan penambahbaikan selain memastikan tahap kecergasan sentiasa berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan tersebut.

“Ya, dalam beberapa bulan ini saya akui merupakan satu cabaran untuk mengenal pasti pemain muda yang akan diserapkan bersama pemain senior bagi membentuk skuad mantap bagi kejuaraan Siri Tujuh Sebelah Ragbi Asia 2021.

“Selain itu tempoh masa singkat juga satu cabaran untuk mengembalikan semula tahap kecerdasan para pemain selain beberapa tonggak utama masih dalam tempoh rawatan berikut kecederaan sebelum ini.

“Alhamdulillah, perkembangan terkini saya boleh katakan tahap kecergasan dan kekuatan mental para pemain semua berada di tahap tinggi selain asas permainan setiap pemain giat dipertingkat lagi bagi melancarkan permainan mereka dalam memberi daya saing pada kejuaraan kali ini.

“Saya berharap semua pemain dapat menunjukkan satu prestasi yang tinggi walaupun dalam tempoh persediaan yang singkat selain cuba sedaya upaya untuk merebut tempat Sukan Komanwel pada tahun hadapan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Skuad Bunga Raya 7's wanita negara pada saingan kali ini diundi dalam kumpulan B bersama Hong Kong, China dan Sri Lanka.

Mengenai undian itu, Mohammad Faiz berkata, skuadnya meletakkan sasaran untuk berada di ranking di atas pasukan Sri Lanka pada kejuaraan kali ini.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad wanita negara adalah pada edisi 2019 apabila meraih kedudukan ketujuh Asia bagi semua kejuaraan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!