Solskjaer tenang, terbuka terima kritikan
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan terbuka menerima sebarang kritikan, malah tidak terganggu dengan komen pedas berikutan persembahan hambar The Red Devils sejak kebelakangan ini.
"Kritikan boleh membuatkan anda meragui diri sendiri atau anda boleh membela diri. Saya sentiasa menikmati kritikan. Teruskannya.
"Wartawan, pengulas, pakar, kita semua mempunyai tanggungjawab berbeza. Ia adalah tugas mereka untuk memberikan pendapat masing-masing. Saya di sini bukan untuk bergaduh dengan mereka," katanya menjelang kunjungan gergasi liga Inggeris itu ke Bergamo untuk aksi menentang kelab Seria A, Atalanta dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara.
Solskjaer sebelum ini berdepan kritikan hebat berikutan prestasi turun naik kelab itu, namun berkurangan dengan kemenangan 3-0 ke atas Tottenham Hotspur di London minggu lalu.
Dalam pada itu pengendali dari Norway tersebut menegaskan Manchester United tidak memandang mudah cabaran Atalanta di sebalik kejayaan melakar kemenangan bergaya ke atas Tottenham Hotspur.
"Atalanta, mempunyai gaya istimewa. Menyerang, agresif, jurulatih (Gian Piero Gasperini) berjaya menyerlahkan aura itu. Malah ia juga sangat mengujakan untuk ditonton dan kami juga telah mengikuti perkembangan semasa Atalanta. Apa yang berlaku di Bergamo dalam tempoh lima tahun ini adalah luar biasa.
"Atalanta merupakan pasukan dengan gaya permainan yang unik dan para pemain masih percaya terhadap kemampuan diri sendiri.
"Kebiasaannya perkara yang kecil kepada mereka dalam setiap perlawanan, akan dimanfaatkan dengan cara berbeza setiap pemain-pemain bagi meraih kemenangan," kata Solskjaer.
Mengenai taktikal permainan menentang Atalanta, Solskjaer berkata, strategi Manchester United untuk beralih kepada tiga bek di pertahanan tengah berfungsi dengan sempurna ketika menentang Tottenham.
Namun jelasnya, pendekatan ketika melakar kemenangan luar biasa ke atas
Tottenham tidak akan dipraktikkan dalam perlawanan ini.
"Manchester United mempunyai ramai pemain-pemain yang boleh melaksanakan tugas dalam pelbagai sistem berbeza - tiga bek, lima bek,pemain sayap. Kami melihat Tottenham, bermain sistem itu dan ia berjaya. Biarpun begitu kami tidak boleh mengatakan apa yang akan kami lakukan di Bergamo," katanya.
Manchester United kini memimpin kumpulan dengan empat mata daripada tiga perlawanan, manakala Atalanta di tempat ketiga, sama dengan empat mata dengan Villarreal di tempat kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!