Sasaran 600,000 pekerjaan baharu tuntut kerajaan ubah pendekatan: Pakar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bajet 2022 yang menumpukan pada penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran, disifatkan oleh banyak pihak sebagai "penawar” tatkala ramai individu kehilangan punca pendapatan akibat penularan Covid-19.

Setakat Jun tahun ini, pengangguran direkodkan berjumlah 768,700 atau 4.8 peratus, justeru inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang dibentangkan dalam bajet itu memberi harapan kepada rakyat untuk bangkit dan seterusnya membantu memacu ekonomi negara yang pada masa ini dalam keadaan menguncup.

Namun begitu, ada pakar ekonomi berpandangan jaminan peluang pekerjaan baharu sebanyak 600,000 dengan peruntukan RM4.8 bilion yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan bajet pada 29 Oktober lepas merupakan satu cabaran untuk direalisasikan.

Penganalisis ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, ini kerana inisiatif hampir serupa turut dicadangkan dalam Belanjawan 2021 menerusi Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan, selain Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) untuk 50,000 pekerjaan kontrak.

“Jika program-program ini berjaya dilaksanakan tahun ini, sudah tentu dalam belanjawan kali ini tidak perlu lagi meletakkan sasaran yang begitu tinggi iaitu 600,000 kerja baharu dan 80,000 pekerjaan di bawah MySTEP.

“Ini juga membayangkan seolah-olah program JanaKerja yang sepatutnya menyediakan pekerjaan baharu tahun ini tidak berjaya dilaksanakan sehingga (kerajaan) terpaksa meletakkan sasaran yang lebih tinggi pada tahun depan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Ahmed Razman, secara purata jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan pada setiap suku tahun pada tahun ini masih lagi kurang daripada 20,000 pekerjaan.

Justeru beliau menyarankan agar kerajaan lebih telus dalam perkongsian data dan statistik untuk menjelaskan tahap pencapaian setiap inisiatif dan impaknya.

Artikel Berkaitan:

Semangat JaminKerja

Sementara itu, Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed pula yakin kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menggunakan pendekatan baharu bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, keseriusan kerajaan dalam membuka peluang pekerjaan baharu dapat dilihat melalui peningkatan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan, iaitu sebanyak RM75.6 bilion atau 22.8 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun depan.

“Ini juga selari dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion yang telah diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025),” kata Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia itu.

Dalam Bajet 2022, kerajaan akan meneruskan insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang melalui peruntukan RM2 bilion di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Di bawah inisiatif itu, kerajaan memberikan insentif 20 hingga 30 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja (tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas) dan insentif 30 hingga 40 peratus gaji bulanan RM1,200 ke atas kepada majikan yang menggaji Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan banduan.

Selain itu, sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta ditawarkan melalui MySTEP dan RM1.1 bilion diperuntukkan dalam pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan sasaran 220,000 pelatih.

Kurangkan subsidi upah

Dalam pada itu, kerajaan turut dilihat sedang mengurangkan secara signifikan kebergantungan pada Program Subsidi Upah dalam mengawal dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran.

Program itu dilihat amat berkesan dalam mengawal dan mengurangkan kadar pengangguran, contohnya kadar pengangguran pada Mei 2020 iaitu 5.3 peratus turun kepada 4.5 peratus pada Mei 2021.

Namun kata Anuar Shah, perbelanjaan yang ditanggung kerajaan akibat pelaksanaan program tersebut adalah tinggi.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM15.7 bilion untuk empat Program Subsidi Upah.

“Di sebabkan itu semasa Bajet 2022, kerajaan akan melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) secara bersasar kepada pemain industri pelancongan, dan kerajaan akan meneruskan inisiatif PSU khusus kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Menerusi peruntukan berjumlah RM600 juta, inisiatif ini bakal memanfaatkan lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja,” katanya.

Tingkatkan latihan kemahiran

Penekanan pelbagai program latihan dalam Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu amat signifikan dalam memastikan kelangsungan peluang pekerjaan, terutama yang berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Profesor Madya Dr Razali Hassan berkata, penekanan terhadap bidang latihan dan kemahiran baharu secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan peluang pekerjaan, seiring dengan transformasi teknologi digital serta perubahan landskap teknologi pada masa ini yang menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Pada pandangan saya, ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik oleh kerajaan yang prihatin dengan perubahan ekonomi serta kesan pandemik, dan perlu diingatkan bahawa kesan pandemik telah banyak mengubah landskap pekerjaan serta (memberikan) lebih fokus kepada bidang pekerjaan yang melibatkan dunia digital.

“Bidang kemahiran baru khususnya TVET digital akan mendapat perhatian bagi memastikan pekerja baru mahupun yang diambil semula bekerja mendapat kemahiran baharu selaras dengan transformasi teknologi digital,’’ katanya.

Langkah itu turut memperlihatkan penawaran pekerjaan bernilai tinggi termasuk kepada belia, berdasarkan kepada kepakaran dan kemahiran yang dimiliki mereka.

Bagi menjayakan usaha itu, agensi atau penyelia TVET seperti kolej vokasional dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), perlu menyediakan pendidikan dan latihan vokasional secara lebih profesional selain mengadakan kerjasama dengan industri berkaitan supaya matlamat melahirkan pekerja berkemahiran dapat direalisasikan.

“Reskilling dan upskilling merupakan satu usaha yang baik bagi memastikan mereka yang terjejas atau hilang pekerjaan semasa Covid-19 mendapat pekerjaan.

“Usaha ini akan dapat diperkemaskan lagi sekiranya kemahiran usahawan tekno diberi bersama bantuan kewangan atau modal awal bagi mewujudkan lebih ramai usahawan kecil menyokong industri yang lebih besar,’’ katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!