Program hantar pulang PATI kutip lebih RM71 juta kompaun
KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengutip wang kompaun berjumlah lebih RM71 juta melalui Program Rekalibrasi Pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mula diperkenalkan tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jumlah itu membabitkan seramai 147,705 orang warga asing yang mendaftar untuk program berkenaan.
"Kutipan wang kompaun (daripada PATI) untuk mereka balik semula berjumlah RM71.368 juta. Ini membuktikan program ini berjaya buat masa ini," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang mahu tahu mengenai perkembangan program pemutihan PATI di negara ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Hamzah turut memaklumkan sebanyak 212,926 permohonan daripada PATI di bawah Program Rekalibrasi PATI.
Jelasnya, sebanyak 11,751 permohonan pula diterima membabitkan majikan.
"Terdapat beberapa sektor khusus bagi PATI yang mendaftarkan diri untuk bekerja semula dan KDN sudah pun membuat verifikasi mengenai permohonan itu," katanya.
Pada November tahun lalu, kerajaan memperkenalkan Program Rekalibrasi Pulang PATI iaitu program yang membenarkan warga asing itu untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!