Harga tiket penerbangan Sabah, Sarawak dijangka kembali paras purata

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menjangkakan harga tiket penerbangan bagi laluan ke negeri Sabah dan Sarawak akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 27 Oktober lalu bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November depan, mendapati kebanyakan penerbangan di antara Semenanjung dan Sarawak merekodkan harga tiket yang tinggi.

Menurutnya, harga itu antara satu sehingga enam kali ganda lebih mahal berbanding harga tiket pada tahun 2019.

Katanya, bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, berdasarkan pemantauan yang sama bagi tempoh di antara 4 sehingga 10 November 2021, MAVCOM mendapati harga tiket yang lebih rendah di antara 30 peratus hingga 62 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada tahun 2019.

"Kerajaan negeri Sarawak pada 25 Oktober 2021 telah bersetuju untuk membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan ke Sarawak daripada 89 penerbangan seminggu kepada 223 penerbangan seminggu, tanpa had kapasiti penumpang, berkuat kuasa 1 November 2021.

"Kebenaran ini dijangka membolehkan pihak syarikat penerbangan meningkatkan operasi penerbangan dan menawarkan harga tiket yang lebih rendah," katanya pada waktu pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Kuching) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mengawal jumlah penerbangan dan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi.

Ka Siong berkata, sebelum ini sekatan perjalanan antara negeri yang dikuatkuasakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan berterusan di bawah tempoh Pelan Pemulihan Negara telah memberi impak besar kepada jumlah trafik penumpang udara domestik.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia secara langsung telah menjejaskan kemampuan syarikat penerbangan untuk mempraktikkan konsep 'cross-subsidisation' dalam penetapan harga tambang.

"Pada waktu ini, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak wajar mempertimbangkan untuk mempermudahkan protokol kesihatan bagi kemasukan penumpang ke Sabah dan Sarawak.

"Perkara ini perlu disokong oleh peningkatan keyakinan penumpang untuk terbang di fasa endemik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!