Sudah tiba masa kerajaan laksana cukai kemewahan: Shafie
KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang untuk mengenakan 'luxury tax' atau cukai kemewahan bagi setiap pembelian barangan dan perkhidmatan mewah dan tidak penting yang melepasi harga tertentu.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, antara barangan mewah yang boleh dikenakan cukai adalah seperti super car, kapal layar, jet peribadi, barang kemas bernilai tinggi dan barangan mewah lain.
Jelasnya, pelaksanaan cukai kemewahan itu telah dilakukan oleh negara maju sejak sekian lama.
"Di rantau ASEAN, Thailand dan Indonesia juga mengenakan cukai kemewahan ini kepada rakyat mereka.
"Jadi sekiranya kerajaan bersetuju untuk melaksanakan cadangan ini, ia tidaklah menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang akan mengenakan cukai sedemikian kepada rakyatnya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan cukai kemewahan ini dalam bajet akan datang.
Katanya, pelaksanaan cukai itu juga dapat membantu menaikkan hasil kerajaan yang terjejas disebabkan hasil yang makin menurun kebelakangan ini.
"Ini juga bertujuan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan tinggi (T20), bersesuaian dengan aspirasi kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!