Paras air laut dijangka naik, pengunjung pantai PD diminta waspada
PORT DICKSON - Meskipun Negeri Sembilan tidak tersenarai negeri yang terlibat dengan fenomena air pasang besar, namun orang ramai dan pengunjung pantai Port Dickson turut diingatkan sentiasa berwaspada.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, paras air laut dijangka naik sehingga ketinggian 3.2 meter ekoran musim tengkujuh ketika ini.
Menurutnya, jika berlaku hujan serentak dibimbangi banjir kilat akan berlaku di beberapa kawasan rendah di Port Dickson.
"Tambahan pula keadaan sekarang kita sedang berhadapan dengan perubahan monsun ke Monsun Timur Laut yang menyebabkan kawasan Pantai Barat terkesan dengan kejadian ribut.
"Diharap orang ramai yang ingin berkunjung ke pantai Port Dickson supaya menilai dahulu keadaan cuaca dan menangguhkan perjalanan jika ada amaran hujan lebat dan ribut petir," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Syukri berkata, pengunjung juga diminta mematuhi amaran bendera merah yang dinaikkan di kawasan pantai.
"Kita sememangnya menempatkan anggota di menara pantai untuk buat pemantauan keselamatan pengunjung dan membuat penilaian cuaca.
"Jika air laut bergelora, kira akan naikkan bendera merah supaya orang awam tidak terus berada di pantai," katanya.
Katanya, dengan keadaan hujan lebat dan angin bergelora yang menyebabkan kadar ombak agak besar, ia merisikokan pengunjung.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersiap sedia dengan pek siaga yang mengandungi makanan, minuman bersih, ubat ubatan dan peralatan penting.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!