Nilai denda peniaga ingkar di Negeri Sembilan RM1.3 juta

Veerapan (kiri) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SHMMP Deepavali 2021 peringkat Negeri Sembilan di Pasar Raya Zeemart Senawang pada Selasa.
Veerapan (kiri) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SHMMP Deepavali 2021 peringkat Negeri Sembilan di Pasar Raya Zeemart Senawang pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 458 kompaun dengan nilai denda sebanyak RM1.3 juta setakat 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sebanyak 38,633 premis diperiksa oleh penguatkuasa merangkumi semua daerah negeri ini sejak 1 Januari lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, sebanyak 458 kes dikenal pasti dengan nilai rampasan sebanyak RM851,177 melibatkan denda yang dikeluarkan berjumlah RM1,340,000.

"Pada tahun lalu, sebanyak 563 pelbagai kes dikesan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM190,046 manakala nilai denda adalah RM140,000, namun pada tahun ini terdapat peningkatan terhadap nilai denda yang dikenakan oleh mahkamah kepada pihak yang didapati bersalah.

"Kesemua kesalahan itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagang 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Selain itu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Cap Dagang 2019 dan Akta Pengegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, turut dikesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 peringkat Negeri Sembilan di Pasar Raya Zeemart Senawang, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Veerapan juga memberitahu, KPDNHEP negeri ini menerima 814 aduan melibatkan pelbagai aduan bagi tempoh sama tahun ini.

Jelas Veerapan, aduan yang diterima pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 1,199.

Katanya, antara aduan tertinggi yang diterima adalah 371 melibatkan transaksi dalam talian, harga (129), perkhidmatan mengelirukan (131), bengkel kenderaan bermotor (44) dan iklan mengelirukan (26).

Sementara itu, Veerapan mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menaikkan harga barang sesuka hati.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan termasuk kompaun kepada peniaga yang ingkar.

"Sepanjang SHMMP ini, seramai 108 anggota penguatkuasa KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Pihaknya sangat komited dalam memastikan semua pengusaha dan peniaga mematuhi segala peraturan yang ditetapkan demi kepentingan semua pihak," katanya.

Katanya, pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui Portal e-aduan di https:eaduan.kpdnhep.gov.my dan talian di WhatsApp 019-2794 317, bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!