PRN Melaka: Polis Melaka tidak 'double standard'
MELAKA - Polis Melaka tidak pernah mengamalkan 'double standard' terhadap mana-mana parti politik yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, segala tindakan yang diambil tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, polis menjalankan tugas berlandaskan peruntukan undang-undang tersebut dengan penuh budi bicara dan kebijaksanaan demi kesihatan awam.
"Sebelum kita ambil sesuatu tindakan, kita akan memberi nasihat, penilaian lapangan dan mengumpul bukti-bukti.
"Saya ingin maklumkan polis tidak pernah menjalankan tugas dua darjat, pilih kasih atau siasatan yang pilih-pilih dalam melaksanakan tugas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mendakwa pihak berkuasa mengamalkan dua darjat selepas mengenakan kompaun RM10,000 kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal baru-baru ini.
Abdul Majid berkata, dakwaan yang mengatakan tiada penonton dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada program tersebut juga adalah tidak benar.
"Kita ada bukti melalui rakaman video dan gambar daripada anggota di lapangan dan selepas siasatan, baharulah tindakan diambil.
''Oleh itu, saya minta mana-mana individu yang sangsi dengan tindakan tersebut, datang berbincang. Kita akan jelaskan tindakan yang diambil dan jika tidak berpuas hati, boleh kemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jangan kelirukan rakyat melalui media sosial,'' katanya.
Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan semua kegiatan, perhimpunan, berkempen atau majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka yang berkuatkuasa sehingga 27 November ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!