Tiga PATI ditahan ketika cuba kembali ke negara asal
BUKIT KAYU HITAM - Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berjaya menahan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi sempadan Malaysia-Thailand untuk pulang ke Myanmar, pada Isnin.
Menerusi kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia, kegiatan kumpulan itu disedari anggota bertugas yang sedang melakukan rondaan dalam kawasan kebun getah di sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia kira-kira jam 2 pagi.
Katanya, ketika kejadian kesemua suspek warganegara Myanmar itu sedang bergerak menuju ke pagar sempadan sebelum ditahan dan dibawa ke Pos 5 untuk siasatan lanjut.
"Ketiga-tiga PATI yang berusia antara 28 hingga 50 tahun itu tidak memiliki sebarang pas perjalanan yang sah dan menggunakan lorong tikus untuk masuk ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, mereka turut merampas wang tunai bersama lima buah telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM3,682.40.
"Kesemua PATI dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Alor Setar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!