Guru-guru YIK tolak vaksin setuju ambil suntikan

Dr Izani (berdiri dua dari kanan) memberikan sokongan kepada Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang menerima suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
Dr Izani (berdiri dua dari kanan) memberikan sokongan kepada Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat yang menerima suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sebelum ini menolak vaksin Covid-19 bersetuju untuk mengambil suntikan itu dalam usaha mencegah dan memutuskan rantaian jangkitan seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perubahan sikap itu hasil pertemuan dan sesi kaunseling yang dilakukan kepada guru-guru tersebut berkaitan kebaikan vaksin.

"Ini sesuatu yang positif, keputusan untuk memberi suntikan vaksin ini mengambil kira pendapat daripada pakar perubatan dan agama," katanya ketika ditemui selepas melawat program suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 kepada barisan hadapan di Kota Darulnaim di sini, pada Selasa.

Menurutnya, bagi guru-guru yang berkhidmat di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada agensi berkenaan untuk mengendalikan.

Beliau berkata, semua pihak termasuklah rakyat perlu bersama dengan kerajaan dalam mendokong pengambilan vaksin ini untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, seramai 12,000 petugas barisan hadapan daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan sedang menerima suntikan penggalak.

"Pengambilan suntikan penggalak ini bertujuan memperkukuhkan lagi tahap imuniti badan para petugas barisan hadapan yang sentiasa terdedah dengan jangkitan itu.

"Suntikan penggalak bagi warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sudah mula diberikan secara rasmi pada Isnin, 1 November," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Izani berkata, dos penggalak yang diberikan oleh kerajaan ketika ini adalah jenis Pfizer.

Katanya, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang terus bekerja keras dalam menggerakkan program vaksinasi.

Menurutnya, kerajaan akan terus menggiatkan kempen dalam usaha menarik masyarakat mendapatkan dos penggalak tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!