PGA rampas lebih RM18,000 beras disorok bawah timbunan guni

Batalion 9 PGA Kuala Terengganu berjaya mengesan cubaan penyeludup menyorok beras seludup di bawah timbunan guni kulit kelapa hancur di sebuah bangsal di Kampung Limau Purut, Lubok Setol, Rantau Panjang pada Isnin.
Batalion 9 PGA Kuala Terengganu berjaya mengesan cubaan penyeludup menyorok beras seludup di bawah timbunan guni kulit kelapa hancur di sebuah bangsal di Kampung Limau Purut, Lubok Setol, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Cubaan penyeludup mengaburi mata penguatkuasa dengan menyorok beras seludup di bawah timbunan guni kulit kelapa hancur berjaya dikesan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu pada Isnin.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah bangsal yang mengandungi timbunan guni-guni kulit kelapa hancur di Kampung Limau Purut, Lubok Setol.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, penyeludup bertindak meletakkan guni-guni yang mengandungi beras, beras pulut dan beras nasi dagang di bawah timbunan guni-guni kulit kelapa hancur.

"Bagaimanapun perbuatan tersebut berjaya dihidu selepas anggota PGA membuat serbuan di bangsal berkenaan pada jam 12.30 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan ke atas guni-guni tersebut mendapati terdapat beras seberat 3,340 kilogram (kg) bernilai RM13,360; beras pulut 600 kg (RM4,200) dan beras nasi dagang 100 kg (RM1,000)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM18,560.

Beliau berkata, laporan polis berkenaan rampasan tersebut dibuat di Balai Polis Rantau Panjang dan kesemua barangan diserah kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KPSBN) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!