Kadar penginapan hotel meningkat 80 peratus
KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Sektor pelancongan di Terengganu semakin berkembang dengan tempahan hotel-hotel di negeri ini meningkat sebanyak 80 peratus selepas kerajaan membenarkan semula rentas negeri sejak 11 Oktober lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, angka itu berdasarkan data kadar purata penginapan pelancong yang dikeluarkan oleh persatuan berkenaan pada bulan lalu.
Menurutnya, tempahan bilik pada hari biasa di kebanyakan hotel di negeri ini mencapai 50 peratus dan meningkat kepada 80 peratus pada hujung minggu terutama musim cuti perayaan.
“Selepas rentas negeri dibuka, tempahan hotel-hotel di Terengganu sangat menggalakkan dengan majoriti bilik penuh ditempah pada hujung minggu begitu juga ketika sambutan Deepavali pada 4 November ini.
“Sepanjang bulan ini, kita dimaklumkan kebanyakan bilik hotel juga sudah habis ditempah pengunjung,” katanya selepas pelancaran stesen pengecas kenderaan elektronik (Electric Vehicle (EV) Charging Station) di Primula Beach Hotel, di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Pengurus Besar Primula Beach Hotel berkata, perkembangan positif itu memberi nafas baharu kepada industri perhotelan yang sebelum ini terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Selain itu Suaibah berkata, walaupun rentas negeri sudah dibenarkan namun industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa untuk proses pemulihan yang lebih efektif serta berkesan.
"Kebanyakan resort dan hotel di pulau-pulau memerlukan pelancongan asing, begitu juga dengan hotel di tanah besar. Jadi, kita harap pintu sempadan negara dapat dibuka pada kadar segera untuk ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, semua pengendali hotel turut mengutamakan keselamatan pengunjung dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk hanya membenarkan mereka lengkap divaksinasi menginap di hotel.
“Oleh itu, pengunjung tidak perlu bimbang kerana fokus kita adalah ‘safe and clean travel’ dan kita mengalu-alukan kunjungan pelancong ke negeri ini dengan tempahan hotel masih dibuka pada Disember nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!