Melaka kaji semula bantuan 'one-off' bencana alam

Sulaiman (dua dari kanan) menegaskan projek mengatasi banjir perlu melibatkan penduduk untuk wujudkan situasi menang menang.
Sulaiman (dua dari kanan) menegaskan projek mengatasi banjir perlu melibatkan penduduk untuk wujudkan situasi menang menang.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan segera mengkaji semula kenaikan bantuan (one-off) RM200 bencana alam seperti banjir kepada penduduk terjejas.

Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu dilihat tidak lagi sesuai pada masa sekarang untuk meringankan beban mereka yang terjejas memandangkan musibah banjir berlaku tidak hanya pada musim tengkujuh sahaja.

Menurutnya, bantuan itu juga sewajarnya disalurkan melalui mekanisme yang lebih efisien tanpa syarat permohonan dalam tempoh tiga bulan kerana bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Hari ini kita adakan mesyuarat dan kalau boleh bantuan ini dinaikkan. Contoh kalau dulu mangsa dapat RM100, takkan sekarang pun masih dapat jumlah sama sedangkan harga barang semua naik.

"Jumlah bantuan ini perlu dikaji semula kerana bencana alam boleh berlaku pada bila-bila masa dan kita tidak boleh jangka bila banjir," katanya ketika membuat lawatan di Taman Bukit Beruang Bestari di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan rebat 15 peratus bil air Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) kepada 24,141 pengguna domestik negeri ini yang terjejas akibat banjir.

"Pemberian rebat itu membabitkan penduduk terjejas di ketiga-tiga daerah termasuk Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah," katanya.

Beliau turut menegaskan setiap projek yang ingin dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir perlu melibatkan penduduk dalam mendapat keputusan yang memuaskan hati semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!