Perodua jual 27,858 unit kenderaan pada Oktober
KUALA LUMPUR - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjual sebanyak 27,858 unit kenderaan pada Oktober 2021 berikutan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggannya serta mencapai sasaran untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 90.67 peratus daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021.
“Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan, 8,761 unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz.
Mengenai pengeluaran beliau berkata, Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.
Bagaimanapun, bagi asas tahunan setakat ini, Perodua mencatatkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5 peratus lebih rendah berbanding 171,861 yang didaftarkan bagi tempoh yang sama pada 2020.
Zainal berkata, lanjutan pengecualian jualan cukai yang diumumkan baru-baru ini membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan penuh baru-baru ini serta mengejar permintaan.
“Lanjutan pengecualian jualan cukai juga akan memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta para pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!