Pertimbangan pengeluaran KWSP perlu ambil kira jangka panjang
KUALA LUMPUR - Pertimbangan untuk tidak membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan bermaksud kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada memastikan keperluan semasa dan jangka panjang adalah simbang.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beberapa pendedahan yang dibuat oleh KWSP menunjukkan dengan jelas kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang persaraan yang mencukupi selepas bersara.
"Isunya bukan kerajaan tidak mampu tetapi lebih kepada berhati-hati kerana apa yang dikongsi oleh pihak KWSP adalah kebanyakan rakyat tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaun KWSP mereka.
"Boleh, mahu keluarkan semua (wang), tetapi perlu diingat apabila seseorang itu bersara kemudian hari, bagaimana jika wang itu tidak mencukupi untuk kos sara hidup, siapa pula hendak menanggung, kemampuan ketika itu juga kita tidak pasti," katanya dalam sesi perbincangan Forum Pasca Bajet 2022 secara dalam talian.
Forum tahunan anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (SEFB), bertujuan mengupas bajet yang dibentangkan oleh kerajaan setiap tahun.
Mohd Afzanizam berkata, menurut kajian KWSP, seseorang perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 dalam KWSP untuk bersara berdasarkan faktor umur rakyat Malaysia yang semakin lama semakin panjang dan memerlukan perbelanjaan untuk hari tua.
"Jadi oleh kerana itu, saya rasa ada kekangannya (isu pengeluaran). Pihak KWSP cuba untuk memberikan pendidikan kepada rakyat supaya berhati-hati menggunakan wang tersebut," tambahnya.
Sementara itu beliau berkata, peruntukkan besar iaitu RM332.1 bilion untuk Bajet 2022 dilihat mampu membina daya tahan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing, namun perjalanan ke arah itu memerlukan masa.
"Sebagai ahli ekonomi, peruntukan tersebut merupakan satu peruntukan terbesar dalam sejarah dan kalau kita lihat dari segi impak kepada ekonomi secara makro, kebiasaannya impak dasar fiskal lebih cepat berbanding dengan dasar monetari yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia.
"Instrumen yang biasa kita dengar adalah kadar dasar semalaman (OPR) yang mana buat masa sekarang ini OPR berada pada paras terendah iaitu 1.75 peratus tetapi instrumen tersebut dari segi impak kepada ekonomi adalah lambat dan mengikut kajian ada yang mengatakan sehingga tempoh 18 bulan, namun mengikut kajian Bank Islam, sekitar 12 bulan," katanya.
Beliau berkata, memandangkan dasar fiskal mempunyai impak yang cepat, ia amat bergantung kepada kecekapan jentera kerajaan dalam menyalurkan insentif atau melaksanakan langkah-langkah yang telah diumumkan.
"Disebabkan itu, saya percaya kenapa unjuran ekonomi tahun hadapan lebih baik dari tahun ini iaitu sebanyak 5.5 peratus ke 6 peratus.
"Secara umumnya, kita berada pada kerangka yg tepat untuk pastikan negara dapat mencapai tahap negara yang berdaya saing, berdaya tahan dan menghasilkan produktiviti yang baik pada masa akan datang," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!