Mayat penuntut UniMAP ditemui lepas 20 jam
TUMPAT - Mayat penuntut lelaki Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Kampung Pulau Besar di sini ditemukan pada pagi Selasa.
Mangsa, Ahmad Hilmi Mas Yuri, 19, ditemukan semasa operasi mencari dan menyelamat pada jam 10.30 pagi selepas hampir 20 jam dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada Isnin dan bersambung pada jam 8 pagi Selasa.
Menurutnya, operasi turut dibantu oleh penduduk kampung serta ahli keluarga mangsa.
“Mayat mangsa ditemukan timbul di permukaan sungai di sekitar lokasi dia dilihat tenggelam pada kali terakhir semalam.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari Ahad, Ahmad Hilmi yang berasal dari Manjong, Perak bersama adik serta dua sepupunya mandi di sungai terbabit sambil menjala ikan.
Mangsa dikatakan berenang dalam keadaan terlentang menyeberangi sungai untuk naik ke darat sebelum tenggelam secara tiba-tiba.
Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, Mas Erni Yusof, 30-an berkata, mangsa yang dipanggil along itu datang ke Kelantan untuk bercuti sambil menziarahi sanak saudara di kampung.
Katanya, ibu mangsa tiba dari Perak tengah malam Isnin sempat ke tebing sungai sambil mendoakan agar anaknya timbul di permukaan.
“Pagi ini jasadnya timbul berhampiran tempat ibunya berdoa tengah malam tadi.
“Kami lega dia sudah ditemui dan kami reda atas pemergiannya,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di kampung halaman ibunya di Kampung Tasek, Rantau Panjang pada petang Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!