Guna produk organik elak pencemaran alam sekitar

Izham (dua dari kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 bagi Kebun Komuniti Daerah Hulu Selangor di Taman Desa Anggerik, Serendah, Hulu Selangor pada Selasa.
Izham (dua dari kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 bagi Kebun Komuniti Daerah Hulu Selangor di Taman Desa Anggerik, Serendah, Hulu Selangor pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Petani di negeri ini disarankan agar tidak menggunakan baja dan racun kimia yang terbukti mendatangkan bahaya dan pencemaran kepada alam sekitar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, sebaliknya petani dinasihatkan menggunakan produk organik dan mesra alam sebagai kaedah alternatif yang terbukti lebih selamat serta sihat.

"Petani perlu memikirkan kaedah terkini seperti penggunaan teknologi moden antaranya penanaman secara fartigasi, hidroponik dan aeroponik yang mana kawasan berkebun kecil tetapi boleh memberikan pulangan lumayan," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 bagi Kebun Komuniti Daerah Hulu Selangor di Taman Desa Anggerik, Serendah di sini pada Selasa.

Izham berkata, kerajaan negeri sedia membantu menyediakan kemudahan dan keperluan kebun komuniti untuk seiring dengan kebun hasil usaha sendiri.

Justeru, katanya, bantuan itu akan dikembangkan lagi pada tahun hadapan sambil berharap jawatankuasa kebun komuniti terus berusaha lebih untuk mempertingkatkan produk hasil kebun mereka dan pelbagaikan tanaman yang bermutu tinggi.

Pada majlis itu, Izham menyerahkan beberapa barangan keperluan kepada petani seperti tanah hitam, cangkul, penggali lubang, skop, pengembur tangan, mesin rumput, semburan mini, getah paip dan kereta sorong.

Pakej bantuan itu turut diberikan kepada Kebun Komuniti Desa Melor, Kebun Komuniti Jalan Inai 3 dan Kebun Komuniti Berpusat, Bukit Beruntung dengan setiap kebun komuniti diberi bantuan berbentuk keperluan kebun komuniti masing-masing berjumlah RM5,000.

Kebun Komuniti di Hulu Selangor diwujudkan pada tahun 2015 yang dibangunkan sendiri oleh persatuan penduduk.

Artikel Berkaitan:

Terdapat 24 kebun komuniti di sekitar daerah Hulu Selangor yang telah mendapat kebenaran untuk diusahakan.

Bahagian Korporat Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan, bagi menggalakkan penduduk bercucuk tanam, pihaknya turut membina sebuah kawasan Kebun Komuniti Berpusat yang telah siap pada 28 Januari tahun lalu.

"Tujuan utama Kebun Komuniti Berpusat ini ditubuhkan adalah untuk memberi peluang kepada individu yang ingin mengusahakan aktiviti berkebun tetapi tidak mempunyai tanah bagi tujuan tersebut," kata kenyataan itu pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!