TUDM siap sedia atur gerak aset bantu mangsa banjir
KUANTAN - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) siap sedia untuk mengatur gerak asetnya sekiranya diperlukan, bagi melaksanakan operasi membantu mangsa banjir berikutan negara dijangka berhadapan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh bermula minggu ini.
Panglima TUDM, Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, tiga jenis pesawat antaranya helikopter jenis EC725, kebiasaannya akan diatur gerak bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas.
“Setakat ini kita hanya berjaga-jaga sahaja, bila sampai masanya kita akan atur gerak aset-aset tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Eksesais Paradise (Paradrop, Air Defence, Deep Strike, Insertion, Search & Rescue and Extraction) Siri 8/2021, di Pangkalan Udara Kuantan, di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November hingga awal Jan 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac tahun depan.
MetMalaysia turut memaklumkan, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir, malah boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.
Sementara itu, Ackbal memaklumkan, empat helikopter jenis AW139 yang diperoleh secara sewaan, akan memulakan operasi bersama pasukan itu dalam masa terdekat.
Katanya, ia merupakan strategi jangka pendek sementara menunggu perolehan helikopter yang baharu dengan menyewa pesawat tersebut, dalam tempoh empat hingga lima tahun.
Mengulas mengenai hasrat Malaysia yang ingin memiliki pesawat F/A-18 daripada Kuwait, Ackbal menjelaskan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut secara rasmi berhubung status pesawat berkenaan.
“Kami ada mengutuskan surat untuk ‘request for information’, sebab dengar mereka nak jual jadi kita tanya apa hasrat sebenar mereka, sekiranya mereka rancang sebegitu (untuk jual), kita rakam keinginan untuk memperoleh pesawat itu.
“Saya akan ke Dubai dan kalau berkesempatan pihak kami rancang untuk adakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara daripada Kuwait, supaya dapat bertanya terus adakah mereka mempunyai niat untuk jual pesawat tersebut,” katanya.
Menyentuh mengenai Eksesais Paradise yang berlangsung selama 12 hari bermula 22 Oktober lepas sehingga Selasa, beliau berkata, ia melibatkan 1,482 kekuatan pegawai dan anggota yang terdiri daripada 918 warga TUDM manakala Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia masing-masing melibatkan 345 dan 210 individu.
Eksesais yang antara lain bertujuan menilai kesediaan tempur dan tahap keberkesanan peralatan itu dilaksanakan meliputi kawasan perairan Selat Melaka termasuk ruang udara yang digazetkan sebagai kawasan latihan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!