40 individu dikompaun buang sampah merata di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun ke atas 40 individu kerana membuang sampah di merata-rata tempat melibatkan lokasi tumpuan awam di pusat bandar di sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kompaun berjumlah RM2,000 itu dikeluarkan sejak penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dua minggu lalu.
Menurutnya, langkah itu diambil susulan pertambahan pengunjung ke negeri ini selepas memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus menyebabkan peningkatan sampah sarap yang dibuang individu tidak bertanggungjawab.
"Terengganu kini telah menguatkuasakan tindakan terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat terutama membabitkan lokasi tumpuan awam.
"Sebelum ini, tindakan sama juga telah diambil bagi membendung kesalahan ini, namun ia terhenti seketika ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif dan merasmikan sesi libat urus bersama 13 badan bukan kerajaan (NGO) Sukarelawan Kebersihan di sini pada Selasa.
Pada majlis itu, setiap NGO tersebut menerima peruntukan RM3,000 sebagai insentif dan sokongan terhadap usaha berterusan yang dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan terutama melibatkan lokasi tumpuan pelancong di negeri ini terpelihara.
Dalam perkembangan sama, Alias berkata, kerajaan negeri bercadang meningkatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan itu dengan mengenakan denda sehingga RM1,000 bagi pelaku yang melakukan kesalahan kali kedua.
"Usaha mendidik dan memupuk kesedaran akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan.
"Jika perbuatan ini masih berleluasa, kita tidak akan teragak-agak untuk meningkatkan kadar kompaun ke atas mereka yang bersalah sehingga RM500 bagi kesalahan kali pertama dan RM1,000 bagi kesalahan kali kedua," katanya.
Jelas beliau, kompaun bagi kesalahan membuang sampah di merata-rata selaras dengan Perenggan 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133); atau Undang-Undang Kecil 13, Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT, 1981.
"Tawaran kompaun berjumlah RM50 secara serta-merta akan dikeluarkan oleh anggota penguatkuasa MBKT kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu.
"Sekiranya pesalah enggan menjelaskan tawaran kompaun itu, mereka boleh didenda sehingga RM500 bagi kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974 (Akta 133) atau RM250 bagi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Kebersihan Awam) MBKT, 1981," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!