Lage puji persembahan Jimenez
PENGENDALI Wolverhampton Wanderers, Bruno Lage memuji persembahan penyerang Raul Jimenez selepas pemain antarabangsa Mexico itu menjaringkan golnya yang ke-50 ketika membantu The Wolves melakar kemenangan 2-1 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux.
Jimenez menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-0 selepas Max Kilman meledak gol pembukaan pada minit ke-28 sebelum Alex Iwobi meledak jaringan untuk The Toffees pada minit ke-66, sekali gus melonjak tuan rumah ke tangga ketujuh liga dengan mengumpul 16 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.
Penyerang berusia 30 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan kepala yang serius pada November tahun lalu yang mengakhiri musimnya, namun kembali cemerlang apabila meledak dua gol dan dua bantuan dalam 10 perlawanan.
"Apa yang Raul lakukan untuk kami, dia berlari 90 minit, malah dia yang pertama yang memberi tekanan kepada lawan. Ini adalah perkara paling penting dia lakukan untuk kami dan cara dia datang untuk menghubungkan rentak permainan antara setiap barisan pemain adalah penting untuk kita.
"Ia adalah contoh personalitinya yang baik. Dia berlari dan percaya bola akan pergi kepadanya dan menjaringkan gol. Itulah sebabnya dia adalah contoh penyerang yang baik," kata Lage.
Wolves akan bertandang ke Crystal Palace pada Sabtu untuk perlawanan liga seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!