Lapan pakej rangsangan ekonomi beri impak positif: PM

Ismail Sabri. - Foto fail Bernama
Ismail Sabri. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan bagi membantu mengurangkan kesan pandemik Covid-19 kepada ekonomi termasuk sektor swasta menerusi lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion telah memberi impak positif kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan kemudahan dan bantuan kerajaan serta pendekatan proaktif melalui pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi, Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding unjuran asal sebanyak 4.2 peratus.

“Unjuran baharu ini menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat dan berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bakat-bakat tempatan.

“Bagi terus memastikan kemampanan ekonomi negara, Rancangan Malaysia Ke-12 yang baru dilancarkan telah dijajarkan dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif,” katanya ketika berucap sempena Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 pada Selasa.

Katanya, Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan setiap dua tahun ini bertujuan untuk mengiktiraf syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, di samping mendorong syarikat untuk terus menambah baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Pada malam (Selasa) ini, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat yang telah menunjukkan ketabahan dan kecekalan untuk terus bertahan dan berkembang walaupun pasaran dunia dan Malaysia khususnya, berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

“Saya yakin banyak perkara yang boleh dipelajari dan diteladani oleh syarikat-syarikat tempatan terutama dari aspek pengurusan dan model perniagaan syarikat-syarikat yang berjaya ini,” katanya.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara yang kompetitif dalam perdagangan dunia, oleh itu negara perlu bersikap terbuka untuk meneroka dan melaksana inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi yang tinggi.

“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi di antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan globa,” katanya.

Jelasnya, sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau, kerajaan akan memperkukuhkan pendekatan yang berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance atau ESG).

“Kerajaan sedar, sekiranya kita berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG yang ditetapkan.

“Kita akan ketinggalan sekiranya kita mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berbangga dengan keberkesanan dan impak Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui oleh MITI telah menyumbang secara signifikan terhadap usaha kerajaan untuk mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster tempat kerja.

“Kerajaan amat menghargai kerjasama pihak industri dalam menjayakan program vaksinasi sebagai langkah untuk meningkatkan perlindungan dan pencegahan.

“Sehubungan itu, saya dan barisan kabinet komited dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!