Belum jumpa pengganti Hakimi

Laporan Sukan Sinar 24 Oktober lalu. GAMBAR KECIL: Mohd Manshahar
Laporan Sukan Sinar 24 Oktober lalu. GAMBAR KECIL: Mohd Manshahar
A
A
A

KEM trek dan balapan negara berkemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat bertanding dalam acara lompat kijang Sukan SEA Vietnam 2021 pada tahun depan selepas Muhammad Hakimi Ismail, perlu berehat lebih tiga bulan setelah menjalani pembedahan bahagian tumit kaki kirinya baru-baru ini.

Ketua Jurulatih Olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, kebarangkalian itu besar apabila ketiadaan dalam kalangan atlet pelapis negara yang mampu mencatat catatan jarak dilakukan oleh Muhammad Hakimi iaitu 16 meter ke atas setakat ini.

“Buat masa ini apa yang boleh saya katakan belum ada dalam kalangan atlet yang mampu mencatat jarak lompatan seperti dilakukan Muhammad Hakimi, sebaliknya yang ada adalah dalam sekitar lompatan sejauh 15 meter.

“Sekiranya tiada kita tidak berjaya mencari pengganti Muhammad Hakimi menjelang Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi Mei depan, berkemungkinan kita tidak akan mengambil bahagian dalam acara ini.

“Untuk mencari pengganti dalam masa terdekat sememangnya cabaran kerana tanpa sebarang kejuaraan dalam tempoh dua tahun berikutan pandemik Covid-19, sememangnya sukar untuk melakukan penilaian terhadap bakat-bakat baharu.

“Sekiranya kita mencari penggantinya ia mestilah merupakan seseorang yang boleh menyaingi setidak-tidaknya memiliki pencapaian setandingnya. Ini penting kerana kita tidak mahu menghantar atlet ke sesuatu kejuaraan sekadar sebagai pelengkap pertandingan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Menyifatkan perkara itu sebagai cabaran kepada skuad olahraga negara, Mohd Manshahar juga berharap Muhammad Hakimi yang merupakan antara atlet taruhan untuk mengekalkan pingat emas Sukan SEA yang dimenangi tiga kali berturut-turut sejak 2015 kembali sembuh segera.

“Muhammad Hakimi sudah pun menjalani pembedahan dua minggu lalu, malah dia masih lagi berjalan menggunakan tongkat, namun saya masih belum menerima laporan penuh daripada Institut Sukan Negara mengenai perkembangan terkini dia.

Artikel Berkaitan:

“Tapi pada kebiasaannya dia akan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih kemudian barulah dia boleh menjalani latihan secara berperingkat-peringkat. Jadi secara realistiknya apa yang boleh saya katakan bahawa penyertaan dia untuk temasya tersebut masih dalam keadaan 50-50.

“Saya mendoakan dan mengharapkan dia kembali pulih seperti biasa tidak hanya bagi membawa cabaran kepada negara, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelapis muda lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!