'Sawah kami sudah seperti laut'
ALOR SETAR - Kira-kira 700 hektar sawah padi di Kampung Batu 8 Jalan Tokai di sini dipenuhi air didakwa akibat sistem perparitan yang tidak diselenggara hampir dua tahun lalu.
Pesawah, Halim Omar, 60, mendakwa, masalah berkenaan menyebabkan sawah mereka digenangi air lebih 10 hari malah bertambah buruk selepas cuaca kerap hujan kebelakangan ini.
Katanya, parit utama di kawasan itu dipenuhi sampah, semak samun dan pokok tumbang yang tidak dialihkan.
"Sekarang musim hujan tetapi jika saliran tidak tersumbat, aliran air lancar dan tidak mendatangkan masalah kepada pesawah.
"Sawah kami di sini sudah seperti laut, siput gondang masuk ke sawah dan makan tunas benih padi," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Lim Lai Sun, 41, pula memberitahu, terpaksa melakukan dua kali proses menabur benih padi akibat air bertakung.
"Kali pertama saya menabur pada 20 Oktober lalu mengikut jadual penanaman yang dikeluarkan tetapi malamnya hujan lebat.
"Tunas benih pun banyak yang rosak dimakan siput gondang, jadi saya tabur pula kali kedua pada Ahad lalu walaupun sedar air masih lagi penuh dalam sawah namun saya tidak ada pilihan," katanya.
Rohani Othman, 66, juga memaklumkan mungkin terpaksa menabur kali kedua selepas melihat benih padi yang ditabur pada 22 Oktober lalu tidak menjadi.
"Selalunya beberapa hari selepas menabur kita akan nampak tunas keluar tetapi sekarang semuanya tidak bertunas malah ada yang sudah dimakan siput gondang.
"Ketika proses menabur kali pertama saya sudah mengeluarkan kos lebih RM1,000 untuk keluasan lima relung sawah. Jika perlu mengulang proses yang sama, saya perlu mencari modal tambahan," katanya.
Rohani berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan segera kerana cuaca kini kerap hujan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!