‘Jadikan sebagai pengajaran’

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berharap kes yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa berhubung insiden kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain dapat memberi pengajaran kepada pelajar khususnya yang menetap di asrama.

Beliau berkata, kes buli yang lazimnya dikaitkan dengan institusi pendidikan terus berlaku.

“Justeru, kes yang diputuskan mahkamah pada Selasa adalah satu pengajaran buat semua terutama pelajar yang tinggal di asrama. Ini kerana ia melibatkan kematian.

“Memang dari dulu lagi insiden buli seperti hukuman denda berlaku, tetapi ia melibatkan kes yang ringan sahaja seperti cuci tandas.

“Bagaimanapun, masih ada sebahagian daripada pelajar di asrama ini didenda secara melampau sehingga membawa kepada kematian dan kecederaan. Diharap ini adalah kes terakhir yang berlaku di asrama,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, Shahul Hamid berkata, ibu bapa dan guru harus memainkan peranan dengan mengawasi pelajar yang menginap di asrama.

Selain itu, menurutnya, kementerian berkaitan juga perlu mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada pelajar yang disabitkan kesalahan.“Jadi, hukuman dan peraturan yang ada sekarang boleh disemak semula supaya kejadian buli tidak lagi berlaku,” katanya.

Sementara itu, sayap pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi mengenal pasti punca tiada sebarang tindakan awal daripada pihak universiti bagi menghalang insiden melibatkan kematian Zulfarhan.

Artikel Berkaitan:

Naib Ketua Pejuang Muda Malaysia, Nik Fathurahman Nik Rasli berkata, langkah tersebut penting untuk meningkatkan tahap keselamatan pelajar serta menghalang insiden sama berlaku pada masa hadapan.“Allahyarham Zulfarhan meninggal dunia selepas 10 hari menderita keseorangan di bilik asramanya akibat didera tanpa disedari pihak universiti. Inkuiri ini hendaklah menyiasat dan mengenal pasti jika wujud kecuaian pihak pentadbiran universiti dalam menjamin keselamatan pelajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!