Aspirasi Pelaburan Nasional, tingkatkan pelaburan strategik negara
BAGI memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama dan mempunyai nilai impak ekonomi tinggi serantau dan global, satu pelan akan dirangka dengan nama Aspirasi Pelaburan Nasional.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelan berkenaan akan dirangka di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menyusun strategi supaya Malaysia kekal kompetitif dalam perdagangan dunia.
"Malaysia adalah negara yang kompetitif dalam perdagangan dunia, oleh itu negara perlu bersikap terbuka untuk meneroka dan melaksana inisiatif bagi meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan.
"Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global," katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI 2020) malam tadi.
Dalam pada itu, kerajaan menyeru semua pemain industri meletakkan agenda persekitaran sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai salah satu piawaian utama.
“Sejajar agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau, kerajaan akan memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Sekiranya Malaysia berhasrat meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG ditetapkan.
"Kita akan ketinggalan jika mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh dalam usaha ke arah penerapan elemen ESG ini,” katanya.
Turut sama pada malam Anugerah Kecemerlangan Industri edisi-27 itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pengiktirafan utama iaitu Anugerah Perdana Menteri dimenangi Johor Port Berhad.
Sebanyak 11 anugerah diberikan kali ini kepada syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan dan 78 buah syarikat telah mengambil bahagian.
Penganjuran AKI 2020 merupakan satu pengiktirafan berprestij kepada pemain industri di Malaysia atas kecemerlangan dalam tadbir urus, teknologi operasi, strategi perniagaan yang efektif bagi penyampaian terbaik produk atau perkhidmatan syarikat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!