Pekebun degil kena tindakan

Antara struktur yang turut dimusnahkan dalam operasi tersebut.
Antara struktur yang turut dimusnahkan dalam operasi tersebut.
A
A
A

LIPIS - Kedegilan pekebun yang meneroka tanah secara haram di Cameron Highlands mengundang padah selepas mereka dikenakan tindakan menerusi operasi penguatkuasaan oleh kerajaan negeri bermula 25 Februari lalu.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 61 buah kebun dengan keluasan 55 hektar terbabit dalam operasi itu melibatkan dua fasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 11 kebun terlibat bagi fasa pertama yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini.

Menurutnya, fasa kedua pula akan melibatkan 50 kebun dan operasi penguatkuasaannya bermula pada April depan.

"Keputusan untuk melancarkan operasi ini ekoran Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Daerah Cameron Highlands pada 1 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

"Telah ditetapkan bahawa fokus penguatkuasaan kali ini ialah ke atas pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan jalan yang berada dalam kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Terlom," katanya ketika ditemui dalam majlis Kenduri Sekampung di Sungai Koyan, hari ini.

Jelasnya,operasi itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kawasan tadahan air untuk muka sauk Ipoh Road di Kuala Terla daripada terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

Artikel Berkaitan:

Antara kebun yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan bermula 25 Februari lalu.
Antara kebun yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan bermula 25 Februari lalu.

Dalam pada itu ketika ditanya tempoh singkat iaitu tujuh hari yang diberikan kepada pekebun terlibat, Wan Rosdy memberitahu, tiada tempoh khusus yang ditetapkan oleh undang-undang.

Ujarnya, tempoh arahan pengosongan terpulang kepada pentadbir tanah daerah untuk menentukan tempoh terbabit.

"Notis yang diberikan pula bertarikh 18 Februari adalah secara pentadbiran bertujuan mengingatkan pekebun yang melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan tanpa izin.

"Mereka (pekebun) telah menceroboh tanah kerajaan tanpa izin sejak 2009 lagi tanpa membayar lesen kepada kerajaan negeri sejak tahun tersebut.

"Sungguhpun notis pernah dikeluarkan tetapi mereka masih meneruskan aktiviti maka tempoh tujuh hari yang diberikan kali ini adalah munasabah," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!