Pengeluaran KWSP akibatkan simpanan keluarga kurang RM10,000
KUALA LUMPUR - Seorang Ahli Parlimen membangkitkan isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini telah disalurkan sebanyak RM101 bilion kepada 7.4 juta ahli.
Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) berkata pengeluaran KWSP itu turut menyebabkan simpanan pencarum kurang daripada RM10,000 sekeluarga.
"...dan kalau mereka lepaskan kerja dan bersara, mereka tidak mempunyai simpanan lagi. Golongan ini akan tersenarai dalam golongan miskin di negara kita dan kita akan ada masalah besar dan ia akan menjadi masalah sosial ekonomi di bandar dan luar bandar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, Xavier berkata perlu untuk kerajaan melihat kesan terhadap situasi kewangan negara untuk sebarang bentuk kemudahan yang dilaksanakan pada masa depan.
Selain itu, beliau berkata belanjawan yang disediakan perlu mengambil kira aspirasi Keluarga Malaysia secara keseluruhannya dan tidak berteraskan pada belanjawan berdasarkan kaum semata-mata.
"Saya nampak dari tahun ke tahun, perbelanjaan kita secara keseluruhannya berasaskan kaum, kita nak jawab di bawah (peringkat akar umbi) pun susah.
"Selalu timbulkan berapa Bumiputera dapat, berapa Cina dapat, berapa India dapat, berapa Orang Asli dapat...situasi ini kita tak boleh jawab kalau kita teruskan dengan race based budget (belanjawan berdasarkan kaum)," katanya.
Seramai 11 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu yang dibentangkan Jumaat lepas.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!