Beri rakyat pilihan untuk sokong parti lain
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelebaran sayap Parti Warisan Sabah (Warisan) ke Semenanjung adalah untuk memberi rakyat pilihan menyokong parti lain selain parti sedia ada.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia kerana parti sedia ada di peringkat nasional hanya menonjolkan tokoh yang sama sehingga kini.
"Adakah pilihan yang ada hanya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sahaja?
"Mungkin angin dari timur sudah sampai dan Warisan menjadi landasan untuk memungkinkan rakyat di negara ini melihat lebih dekat pilihan parti yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada program 'Bersama Shafie Apdal: Relevankah Warisan di Semenanjung?' yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, oleh itu inisiatif Warisan melebarkan sayap itu dapat memastikan rakyat boleh memilih parti lain yang memenuhi citarasa atau kehendak mereka.
"Takkan orang Melayu akan mati kalau tak ada UMNO, orang Cina akan mati kalau tak ada DAP dan umat Islam di negara ini akan habis kalau tak ada Pas, tak semestinya.
"Ini kerana tidak ada UMNO di Brunei tetapi orang Melayu tetap boleh hidup di negara berkenaan dan begitu juga di Indonesia kerana tiada Pas di negara itu, namun Islam tetap bersinar," katanya.
Justeru itu katanya, kemasukan Warisan ke Semenanjung itu akan dilakukan pada tahun ini dan ia akan direalisasikan dengan kerjasama parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
"Rakyat hari ini jauh berubah, mereka tidak melihat semata-mata dari segi imbuhan (manfaat yang diperoleh) untuk menyokong sesebuah parti tetapi mereka nakkan perubahan dan perkara itu saya nyatakan dengan Muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!