Saya gentar tandatangan Akta 342: Dr Adham

 Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Adham Baba pada Rabu mendedahkan bahawa beliau sebenarnya gentar untuk menurunkan tanda tangan pada Mac 2020 bagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ketika pandemik Covid-19 melanda.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, ia adalah pengalaman tidak dapat dilupakan kerana apabila beliau menandatangani dokumen tersebut sebagai menteri kesihatan ketika itu, secara automatik rakyat negara ini tidak dapat bergerak bebas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Tidak pernah dalam sejarah seorang menteri tandatangan Akta 342,” kata Dr Adham ketika berkongsi the untold story (kisah di sebalik) itu pada Majlis Perkongsian Strategik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini pada Rabu.

“Betapa gentarnya saya nak tandatangan Akta 342, nak laksanakan lockdown (sekatan pergerakan) satu negara. Semua orang diperintah stay at home (duduk di rumah) bermula 18 Mac 2020,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Susulan penguatkuasaan Akta 342 bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam negara ini, PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 dengan beberapa status peringkat pelaksanaannya sebelum negara beralih kepada fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara bermula 15 Jun lepas.

Dr Adham berkata, apabila Akta 342 dikuatkuasakan, setiap peraturan terkandung dalam akta tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 walaupun mendapat kritikan hebat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Setiap patah dan ayat dalam Akta 342 kita gunakan untuk pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!