Mayat nelayan ditemui terdampar di pantai

Mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada Petang Rabu.
Mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada Petang Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Mayat seorang nelayan yang dikhuatiri terjatuh di muara Sungai Pahang ditemui terdampar di pantai berhampiran Tanjung Agas kira-kira jam 5.50 petang Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, mayat mangsa, Mohd Rashid Nawang, 42, ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurutnya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba Pekan dan Peramu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat bermula 7.30 pagi Rabu.

"Operasi pencarian di sekitar muara Sungai di Kuala Payang sehingga ke Sungai Miang dengan menggunakan dua unit bot penyelamat dengan membuat pencarian di permukaan air.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri terjatuh di muara Sungai Pahang susulan penemuan bot gentian kaca miliknya di tengah muara itu oleh nelayan lain pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya untuk menangkap ikan kira-kira jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, bot milik mangsa dijumpai oleh nelayan di tengah muara Sungai Kuala Pahang dan mangsa tiada di dalam bot berkenaan kira-kira jam 2 petang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Nelayan hilang dikhuatiri jatuh di muara sungai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!