Kepercayaan, keyakinan kunci utama kejayaan PICK

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kepercayaan dan keyakinan adalah faktor paling penting dalam kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Penyelaras PICK itu berkata, tanpa kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, program vaksinasi terbesar negara itu tidak akan dapat memberikan vaksin Covid-19 kepada lebih 25 juta penduduk dalam tempoh sembilan bulan.

"Sebab mengapa kita berjaya pada akhirnya ialah kepercayaan yang kita miliki antara satu sama lain.

"Apabila kita berkhidmat berdasarkan kepercayaan, semuanya akan berjalan dengan baik. Kita perlu membina keyakinan melalui akauntabiliti peribadi," katanya semasa Majlis Perkongsian Strategik PICK di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Khairy serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,Datuk Seri Dr Adham Baba berkongsi pengalaman masing-masing dalam melaksanakan PICK yang bermula pada 24 Februari lepas.

Pada asalnya, Khairy dan Dr Adham mempengerusikan bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 November lepas dan seterusnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu mengumumkan hanya KKM akan menjadi agensi tunggal untuk menguruskan semua program berkaitan vaksinasi menerusi PICK manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan vaksin Covid-19.

Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Dr Adham adalah Menteri Kesihatan manakala Khairy merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Mereka bertukar peranan di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Artikel Berkaitan:

Mengimbas kembali pengalaman semasa negara mula-mula dilanda pandemik itu, Khairy yang ketika itu berada di MOSTI berkata, kebanyakan orang berdepan isu ‘defisit keyakinan.’

"Sewaktu laman web (untuk janji temu) AstraZeneca berdepan masalah, saya meminta maaf, saya mengambil tanggungjawab dan saya mengatakan ada kesilapan.

"Saya fikir dengan mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti peribadi, walaupun orang tidak percaya, okaylah sekurang-kurangnya anda (kerajaan) tidak lari daripada masalah.

"Perkara ini amat penting kerana tanpa kepercayaan, program itu tidak akan berjaya," katanya sambil menambah langkah menyuntik pegawai atasan kerajaan seperti Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai antara penerima pertama vaksin secara tidak langsung meraih keyakinan rakyat untuk mendapatkan suntikan itu.

Khairy turut menzahirkan penghargaan dan kekaguman beliau terhadap mereka yang terlibat dalam PICK termasuk penjawat awam.

"Penjawat awam yang ditugas di pusat pemberian vaksin, bukan tugas hakiki mereka, untuk buat pendaftaran, tolak kerusi roda warga emas, dan sebagainya tapi bertugas semasa PICK telah mewujudkan perasaan proaktif dan kebertanggungjawaban. Ini adalah sesuatu yang hebat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!