Pemandu kereta sapu cetus Kluster Tumbalang di Ranau
KOTA KINABALU - Seorang pemandu kereta sapu di Ranau menjadi kes indeks Kluster Tumbalang yang menyebabkan jangkitan 56 kes positif Covid-19 sehingga Rabu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, lelaki berusia 37 tahun itu dikesan positif Covid-19 di Hospital Ranau pada 19 Oktober lepas dan kes-kes jangkitan kluster komuniti itu dikesan dalam lokaliti sama.
“Hari ini, dua penduduk Kampung Tumbalang turut dikesan positif melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua menjadikan keseluruhan 56 kes dikesan sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Kluster Sawit Jati di Kinabatangan merupakan satu lagi kluster Covid-19 direkodkan pada Rabu melibatkan 25 kes positif.
Katanya, kes indeks kluster komuniti itu merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dan disahkan positif pada 21 Oktober di sebuah klinik swasta di Kinabatangan.
“Persampelan kontak mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan positif Covid-19. Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan,” katanya.
Masidi berkata, 675 kes positif Covid-19 direkodkan pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 219,566 dan 436 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 208,572 orang manakala 1,848 pesakit masih dirawat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!