Zii Jia dipaksa berpeluh sebelum lepasi Abian di Saarbrucken
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan kempen pemburuan gelaran kedua tahun ini langkah kanan apabila menewaskan pemain dari Sepanyol, Pablo Abian pada pusingan pertama Terbuka Hylo di Saarbrucken malam ini.
Biarpun begitu pemain ranking kelapan dunia kelahiran Alor Setar berusia 23 tahun yang juga pilihan kedua kejuaraan bertaraf Super 500 tersebut diseret ke set penentuan sebelum dapat menjinakkan lawannya yang berstatus ranking ke-51 dunia 21-11, 21-23, 24-22 dalam perlawanan yang berlangsung selama 54 minit.
Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong turut mengesahkan kemaraan dalam tempoh 27 minit apabila menewaskan pasangan dari Jeoun, Takuto Inoue-Kenya Mitsuhashi 21-10 21-15.
Gandingan beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei turut memulakan kempen positif dalam tempoh 40 minit apabila menewaskan pasangan dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching 18-21 21-14 21-14.
Biarpun begitu nasib tidak menyebelahi Goh V Shem-Low Juan Shen apabila tewas 19-21 21-19 21-15 kepada gandingan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han dalam tempoh 59 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!