'PRN Sarawak mungkin pertengahan Disember atau lebih awal'
SIBU - Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee berkata, beliau menjangkakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Disember ini.
Beliau berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya proklamasi darurat di Sarawak ditamatkan memberi laluan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekali gus menamatkan penantian untuk PRN12 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
“Paling lambat saya rasa hari mengundi akan diadakan pada pertengahan bulan Disember. Tapi ia boleh diadakan lebih awal daripada itu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Mengulas kebimbangan berlaku peningkatan kes Covid-19 semasa pilihan raya itu kelak, Dr Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata, aktiviti kempen harus diberikan tumpuan yang kritikal kerana penularan boleh berlaku.
“Penularan akan dapat dielakkan sekiranya tiada rapat umum. Buat masa ini, hanya 100 orang yang dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan dan bagi pilihan raya itu sendiri, ia tiada isu,” katanya.
Beliau berkata, proses mengundi dilakukan dalam keadaan yang amat teratur walaupun bukan pada masa penularan Covid-19.
Katanya, ketika masih dalam pandemik ini, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan proses mengundi teratur tiada sebab penularan Covid-19 tidak dapat dikawal.
“Mengundi ini bukan macam orang pergi ke pasar. Semuanya dalam keadaan teratur. Yang menjadi kerisauan ialah aktiviti berkempen melibatkan jumlah hadirin yang besar dan boleh menjadi tidak terkawal dalam soal pematuhan SOP,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka itu.
Dr Annuar juga berkata, sama ada mengundi atau tidak, SOP mencegah penularan Covid-19 harus diteruskan dan melalui pengamatannya, orang ramai sudah selesa bergerak ke mana sahaja yang menandakan bahawa mereka sudah membiasakan diri dengan pematuhan itu.
Menyentuh persiapan kempen jentera pilihan raya PBB DUN Nangka, Dr Annuar berkata, pihaknya sudah mengadakan persiapan sejak tiga tahun lepas.
“Saya akan menggunakan pendekatan kempen secara digital dan multimedia. Kempen secara bersemuka bagi hadirin kurang 100 akan dijalankan secara minimum,” katanya yang turut melibatkan golongan muda dalam penyaluran bahan kempen melalui media sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!