Makan sambil rendam kaki dalam air banjir

Penggemar makanan ke Chaopraya Antique Cafe di Nonthaburi, sebuah restoran banjir di utara Bangkok untuk menikmati pengalaman makan malam yang unik. - Foto Bernama
Penggemar makanan ke Chaopraya Antique Cafe di Nonthaburi, sebuah restoran banjir di utara Bangkok untuk menikmati pengalaman makan malam yang unik. - Foto Bernama
A
A
A

NONTHABURI - Penggemar makanan berpusu-pusu berkunjung ke Chaopraya Antique Cafe di Nonthaburi, sebuah restoran di utara Bangkok, untuk merasai sendiri pengalaman dan keunikan menikmati juadah di dalam suasana ruang makan terbuka yang digenangi air banjir.

Restoran tepi sungai itu, yang diubah suai daripada rumah kayu dua tingkat, telah dinaiki air selama berminggu-minggu berikutan hujan lebat yang dicetuskan ribut tropika, hujan monsun dan air pasang.

Uniknya, ia menawarkan pengalaman luar biasa kerana pengunjung perlu meredah air untuk ke meja makan.

Sambil kaki terendam di dalam air, mereka duduk di atas bangku dan menikmati keseronokan menjamu selera dengan berlatar belakang Sungai Chao Praya.

Sesekali, apabila bot penumpang melewati berhampiran tempat makan, pengunjung terpaksa berdiri bagi mengelak terkena ombak kecil dan percikan air akibat laluan bot tadi.

Restoran ini menawarkan makan tengah hari dari jam 11 pagi hingga 2 petang manakala “mu kratha” – masakan Thailand yang menggabungkan barbeku Korea dan periuk panas Cina – bermula dari jam 3 petang. Ia boleh memuatkan sehingga 40 pengunjung pada satu-satu masa.

Pelayan menghidangkan makanan di Chaopraya Antique Cafe yang banjir di Nonthaburi Thailand. - Foto Bernama
Pelayan menghidangkan makanan di Chaopraya Antique Cafe yang banjir di Nonthaburi Thailand. - Foto Bernama

Sejak video dan berita mengenai restoran itu tular di media sosial, pengunjung perlu membuat tempahan kerana ia sentiasa penuh terutama ketika hujung minggu dan musim cuti.

Artikel Berkaitan:

Pengurus Chaopraya Antique Café, Jintana Jutimanon berkata, restoran itu dibuka pada Februari tahun ini tetapi terpaksa ditutup apabila kerajaan melaksanakan larangan perkhidmatan makan di resoran bermula Mei untuk membendung penularan Covid-19.

Apabila sekatan dikurangkan, berlaku pula ribut tropika dan hujan lebat menyebabkan paras air meningkat dan restoran itu ditenggelami air sejak 20 September.

“Kami memutuskan untuk terus beroperasi walaupun banjir. Anehnya, pelanggan yang datang sangat gembira dan menikmati pengalaman makan dalam suasana yang unik dan menyeronokkan ini. Berita tersebar melalui mulut ke mulut, ia menjadi tempat makan yang popular.

"Kami sangat gembira melihat pelanggan menyukai suasana dan percikan air, sambil menikmati barbeku yang dibakar di atas meja yang terendam di dalam air," katanya kepada Bernama.

Pelanggan menyukai suasana dan percikan air, sambil menikmati barbeku yang dibakar di atas meja yang terendam di dalam air. - Foto Bernama
Pelanggan menyukai suasana dan percikan air, sambil menikmati barbeku yang dibakar di atas meja yang terendam di dalam air. - Foto Bernama

Namun, pengunjung juga mempunyai pilihan jika mahu menjamu selera seperti biasa di tingkat dua restoran sambil menikmati pemandangan Sungai Chao Phraya.

Menurut Jintana, restoran itu turut mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pengunjung, seperti melakukan amalan pembersihan yang diperlukan di restoran.

"Kami gembira pelanggan menyukai pengalaman unik ini dan kami juga gembira menukar halangan menjadi peluang yang tidak kami jangkakan," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!