Barang kemas lelong, suri rumah rugi lebih RM12,000
KUANTAN - Seorang suri rumah kerugian RM12,432 selepas diperdaya oleh seorang individu yang kononnya menawarkan harga emas lelong di laman sosial Facebook pada September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 37 tahun itu berminat untuk membeli barangan kemas diiklankan dan segera menghubungi suspek melalui talian tertera pada iklan itu.
Menurutnya, mangsa dikatakan berminat untuk membeli seutas rantai tangan dengan berat keseluruhan 26.34 gram pada harga RM652.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian telah membuat pembayaran pertama seperti yang diminta sebanyak RM652.
"Suspek masih lagi meminta mangsa membuat pembayaran bagi mendapatkan barangan kemas itu dengan pelbagai alasan.
"Mangsa telah melakukan sembilan lagi transaksi pembayaran yang berjumlah RM11,780 ke dalam lima akaun berbeza diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menjelaskan, sehingga kini mangsa masih tidak menerima barang kemas yang dibeli dan gagal menghubungi suspek.
Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu.
"Modus operandi yang digunakan suspek dengan menawarkan penjualan emas yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!