Tiga kluster Covid-19 di Jempol dijangka tamat bulan ini

Foto hiasan. (Gambar kecil: Nawal)
Foto hiasan. (Gambar kecil: Nawal)
A
A
A

JEMPOL- Tiga kluster jangkitan Covid-19 di daerah ini melibatkan Kluster Sungai Sampo, Kampung Panchor dan Sri Serting dijangka tamat bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan dan Bencana Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, 14 peratus kes positif Covid-19 di daerah ini membabitkan aktiviti rentas daerah dan negeri.

"Sebanyak 86 peratus lagi membabitkan penularan tempatan, manakala daerah ini mencatatkan sebanyak 5,534 kes positif Covid-19 sejak ia mula dikesan tahun lalu.

"Sebanyak 231 kes aktif direkodkan setakat ini dengan 105 masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selain 82 kes kematian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Dalam perkembangan berlainan, Nawal berkata, semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini sudah ditutup dengan PPV Dewan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) merupakan yang terakhir ditutup pada 15 Oktober lalu.

"Ketika ini pemberian vaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dilakukan di klinik kesihatan.

"Bagi remaja, program vaksinasi dijalankan di sekolah yang diselaraskan oleh PKD dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Secara keseluruhan sehingga semalam (Rabu) sebanyak 68 peratus atau 88,572 penduduk sudah menerima suntikan dos pertama manakala 64.3 peratus atau 83,795 sudah lengkap dua dos vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi remaja sebanyak 60.6 peratus atau 6,687 penerima sudah lengkap dengan dua dos vaksin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!